fb fb fb fb fb

Treler cuba elak kereta rempuh 11 kenderaan di Pasir Gudang

Sebuah treler terbabas merempuh 11 kenderaan di Pasir Gudang pada petang Isnin. Video kemalangan turut tular di media sosial

JOHOR BAHRU, 25 Mac- Tiga individu cedera dalam kemalangan jalanraya melibatkan 12 kenderaan termasuk sebuah treler di kilometer 11.1 Lebuhraya Pasir Gudang menghala Perling, Johor Bahru pada 4.20 petang tadi.

Mangsa merupakan dua wanita dan seorang lelaki berusia lingkungan 20-an hingga 60-an.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat berkata, siasatan awal mendapati kejadian disebabkan sebuah kereta dipandu lelaki berusia lingkungan 20 tahun yang menukar laluan sehingga mengakibatkan treler dari laluan sama hilang kawalan dan melanggar kereta tersebut.

"Treler dipandu lelaki berusia lingkungan 40-an itu kemudian masuk ke laluan bertentangan dan merempuh 10 lagi kenderaan lain.

"Mangsa yang cedera pada bahagian muka kemudian di bawa ke Hospital Sultan Ismail untuk mendapatkan rawatan," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau turut meminta saksi yang mempunyai maklumat lanjut berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan.

GRACE AISYAH KEDAYAN