fb fb fb fb fb

RUU MCBA dijangka dibentang di Parlimen pada Julai

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail/BERNAMA

PUTRAJAYA, 25 Mac- Rang undang-undang Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA) dijangka dibentang di Parlimen Julai depan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perkara tersebut telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dan mendapat maklum balas positif.

Jabatan Perkhidmatan Awam juga telah meluluskan angka penjawatan MCBA yang kini dalam fasa pengisian.

"Dari sudut pembikinan RUU sekarang dalam proses, sangat bagus jaminan pejabat Jabatan Peguam Negara. Kalau ikut jadual pembentangan, pada sesi Julai itu amat munasabah. Itu untuk menjelmakan MCBA ini sebagai satu entiti", katanya kepada media pada Majlis Perjumpaan Khas bersama Pengurusan Tertinggi Kementerian dan Media di Putrajaya.

Tambahnya, Mesyuarat Kabinet minggu lalu bersetuju untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pemandu dan Pengoperasian MCBA dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Ruji Ubi.

Diterajui Ketua Pengarah, Datuk SeRi Hazani Ghazali, MCBA merupakan agensi bertanggungjawab mengawal sempadan pintu masuk negara termasuk pemeriksaan di pelabuhan secara komprehensif.

ROSLINA BINTI DIN