KUALA LUMPUR, 15 November – Perasmian Kedai Pasar Pintu yang berlangsung di Program Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda pada Sabtu menandakan satu lagi inisiatif penting dalam usaha meningkatkan pendapatan penduduk terutamanya wanita, melalui peluang perniagaan mikro.
Ahli Parlimen Batu, Prabakaran M. Parameswaran berkata kewujudan Kedai Pasar Pintu memudahkan urusan penduduk PPR terlibat bagi mendapatkan barangan asas.
"Kehadiran kedai ini memudahkan penduduk PPR yang sebelum ini perlu berjalan jauh untuk mendapatkan barang asas, sambil membantu peserta menjana pendapatan. Program ini membuktikan keberkesanannya sebagai usaha pemberdayaan komuniti," katanya di sini.
Projek Kedai Pasar Pintu, yang dianjurkan oleh Primus Wellness dengan sokongan Yayasan Hasanah dan Kementerian Kewangan Malaysia, merupakan usaha berterusan untuk memperkukuh ekonomi komuniti di kawasan PPR.
Tahun ini, program tersebut diperluaskan kepada lima unit kedai, iaitu dua di PPR Batu Muda dan tiga di Flat Desa Mentari.
Rentetan kejayaan Pasar Pintu 2023 serta maklum balas positif daripada penduduk, operasi yang pada asalnya dijalankan secara kecil-kecilan dari pintu ke pintu kini berkembang melalui penubuhan kedai berkenaan.
Pembekalan terus daripada pekebun seluruh negara membolehkan penduduk memperoleh hasil segar pada harga lebih rendah, manakala peserta projek dapat menjana pendapatan antara RM600 hingga RM1,000 sebulan.