fb fb fb fb fb

50 kes tangkapan dalam seminggu Op Khas Pagar Laut

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin ketika melakukan tinjaun OP KHAS PAGAR LAUT 1/2024 di perairan Sabah hari ini.

KOTA KINABALU, 25 Mac - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mencatatkan 50 kes tangkapan bagi pelbagai kesalahan dengan nilai dianggarkan lebih RM4.5 juta bagi seminggu pelaksanaan Op Khas Pagar Laut 1/2024 di seluruh perairan negara.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, kes-kes tangkapan adalah bagi kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985, Akta Imigresen 1959/63, Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kastam 1967, Akta Dadah Berbahaya 1952, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS).

Beliau berkata, daripada jumlah yang dinyatakan, Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan 16 kes tangkapan dengan nilai rampasan hampir RM400,000 di bawah undang-undang yang sama.

"Operasi ini diaktifkan semula di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dalam usaha mengekang dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan khususnya di kawasan titik panas (Hotspot) pada bulan Ramadan dan Syawal.

"Operasi khas ini dilaksanakan dalam empat fasa iaitu bermula Fasa I iaitu persediaan (pengumpulan maklumat dan siap siaga aset) pada 12 Mac hingga 17 Mac diikuti Fasa II iaitu penguatkuasaan sebelum perayaan (18 Mac hingga 1 April).

"Seterusnya Fasa III merangkumi penguatkuasaan semasa perayaan 2 April hingga 16 April dan diikuti Fasa IV iaitu penguatkuasaan selepas perayaan iaitu 17 April hingga 30 April," katanya ketika mengadakan tinjaun Op Khas Pagar Laut 1/2024 di perairan Sabah hari ini.

Turut hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah, Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik serta Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Maritim, Laksamana Pertama Maritim Ahmad Faridi Ferdaus.

"Kejayaan yang dicatatkan adalah bukti para pegawai dan anggota agensi ini melaksanakan tugasan yang telah diamanahkan dengan komitmen tinggi serta berintegriti," katanya.

Justeru beliau menyeru agar seluruh warga Maritim Malaysia meneruskan momentum berkenaan agar tanggungjawab yang digalas ini terus mendapat kepercayaan Kerajaan seterusnya keselamatan dan ketenteraman rakyat terjaga khususnya ketika menjelang lebaran nanti.

Pada sesi tinjuaan tersebut, Datuk Hamid turut berkesempatan menyampaikan bingkisan raya kepada warga Kapal Maritim (KM) ARAU melalui Pegawai Memerintahnya Kepten Maritim Solehudin Zakaria serta Pegawai-Pegawai Memerintah Kapal Maritim yang menjalankan operasi berkenaan di Sabah.

Melalui bingkisan yang disampaikan ini, beliau berharap ia dapat menceriakan pegawai dan anggota KM Arau yang kini bertugas berjauhan daripada keluarga sempena perayaan kali ini.

GRACE AISYAH KEDAYAN