fb fb fb fb fb

Treler 30 tan muatan besi rempuh sebuah rumah di Kampung Felda Sendayan

SEREMBAN, 17 Julai- Sebuah treler 30 tan yang sedang membawa muatan besi guna semula dikatakan berhenti secara tiba-tiba sebelum menggelongsor secara mengundur dan merempuh sebuah rumah dalam satu kemalangan di Jalan Peringkat 4, Kampung Felda Sendayan di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Nanda Maarof berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 9.15 malam apabila treler yang dipandu lelaki berusia 32 tahun itu mengalami kerosakan enjin menyebabkan ia berhenti secara tiba-tiba.

“Kemudian treler itu menggelongsor ke belakang sehingga mengakibatkan bahagian belakang lori tergelincir ke kiri bahu jalan lalu merempuh sebuah rumah. Hasil siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika sebuah treler 30 tan jenis Volvo yang membawa muatan besi guna semula itu sedang bergerak dari arah Melaka menuju ke arah Sungai Pelek, Sepang, Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tiada mangsa dilaporkan mengalami kecederaan akibat kemalangan itu.

Nanda berkata, pemandu treler terlibat dibawa ke Bahagian Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) di sini bagi ujian saringan awal air kencing.

“Hasil ujian air kencing yang dijalankan ke atas pemandu treler itu mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine. Suspek ditahan dan diserahkan kepada pihak Narkotik IPD Seremban untuk tindakan lanjut,” katanya.

Media Baharu