NIBONG TEBAL, 2 Ogos - Karnival Jom Turun Padang Bersama Pengguna Peringkat Seberang Perai Selatan (SPS) menjadi platform meningkatkan kesedaran kepada masyarakat berkenaan hak pengguna.
Ini termasuk amalan perbandingan harga, proses aduan terhadap salah laku peniaga dan nilai kualiti barangan.
Exco Perdagangan Pembangunan Keusahwanan dan Luar Bandar, Datuk Rashidi Zinol optimis, sekiranya amalan tersebut dipupuk dalam kalangan masyarakat, matlamat untuk memperkasa komuniti bestari mampu direalisasikan, sekali gus memudahkan usaha mempertingkat indeks kuasa pengguna di negeri tersebut.
"Hari ni kita lihat sambutan yang memuaskan ramai yang hadir, saya harap yang penting sekali masyarakat faham peranan KPDN dalam menstabilkan harga, memgawal harga barang di setiap kawasan khususnya di Pulau Pinang.
“Setakat hari ini, kita berpuas hati dan cukup mesra dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang yang telah bertindak menstabilkan harga minyak, diesel, gula dan sebagainya. Alhamdulillah, rungutan masyarakat mengenai harga barang juga semakin berkurangan", katanya.
Beliau berkata demikian dalam Kanival Jom Turun Padang Bersama Pengguna Peringkat SPS di Sekolah Kebangsaan Sungai Setar, Nibong Tebal.
Jelasnya, pelbagai program dilaksana kementerian bagi menyampaikan ilmu kepenggunaan kepada orang ramai.
Ia melibatkan penubuhan Kelab Pengguna Sekolah (KPS), Gerakan Pengguna Siswa (GPS), Gerakan Pengguna Daerah (GPD), Penggerak Komuniti Pengguna (PKP) dan Skuad Kita Pengguna (SKiP).