KUALA TERENGGANU, 2 Ogos - Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU), anak syarikat milik penuh kerajaan negeri, mengumumkan pelaksanaan pelarasan tarif air baharu bagi seluruh Terengganu berkuat kuasa 1 Ogos.
Menurut SATU, pelarasan tersebut telah diluluskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 25 Julai lalu di bawah Mekanisme Penetapan Tarif bagi tempoh pelaksanaan kedua, dan telah diwartakan secara rasmi pada 30 Julai lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Ts Abdul Karim Endut dalam kenyataan berkata, pelarasan itu melibatkan semua kategori pengguna, termasuk pengguna domestik, sektor industri, rumah ibadat, institusi kebajikan, perkapalan dan pusat data.
Bagi kategori domestik dengan penggunaan sehingga 20 meter padu sebulan, kadar baharu meningkat sebanyak lapan sen bagi setiap meter padu, menjadikan caj minimum bulanan sebanyak RM6.60.
Namun, isi rumah dalam kategori B40 masih menikmati subsidi penuh bagi 20 meter padu pertama setiap bulan.
Sebanyak 75 peratus pengguna bukan domestik pula hanya mengalami kenaikan purata sekitar RM1.24 sehari, dan kadar tersebut masih dianggap kompetitif berbanding negeri lain.
Sebagai tanda sokongan terhadap institusi keagamaan dan kebajikan, kadar sedia ada dikekalkan tanpa sebarang perubahan.
SATU turut memperuntukkan sebanyak RM50 juta setahun bagi pembangunan dan penaiktarafan infrastruktur air negeri, termasuk pembinaan serta penambahbaikan loji rawatan air bagi meningkatkan kapasiti bekalan.
Jelasnya, pelarasan tarif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan SATU dalam memastikan sistem bekalan air yang stabil dan mampan di Terengganu.