fb fb fb fb fb

Bas bawa murid tadika kemalangan di Serdang

Seorang guru dan tiga kanak-kanak sebuah tadika cedera selepas bas dinaiki mereka kemalangan di Jalan Persiaran Universiti 1, Universiti Putra Malaysia (UPM) Selangor.

SERDANG, 2 Ogos - Seorang guru dan tiga kanak-kanak sebuah tadika cedera selepas bas dinaiki mereka hilang kawalan dan melanggar pokok di Jalan Persiaran Universiti 1, Universiti Putra Malaysia (UPM), Selangor.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu sekitar pukul 12.18 tengah hari.

Bas berkenaan membawa lima guru dan 30 kanak-kanak, dipercayai dalam perjalanan lawatan sambil belajar.

Siasatan awal mendapati bas yang dipandu lelaki berusia 44 tahun itu hilang kawalan ketika melalui laluan lurus sebelum terbabas ke kiri jalan dan merempuh sebatang pokok.

Rakaman kemalangan tersebut turut tular di media sosial selepas dimuat naik dari kamera papan pemuka pengguna jalan raya.

Guru pengiring dan tiga kanak-kanak mengalami kecederaan kepala dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Serdang.

Pemandu bas telah ditahan dan permohonan reman akan dibuat esok untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang atau balai polis berhampiran.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN