KUALA LUMPUR, 2 Ogos -Kerajaan komited untuk memulih dan memartabatkan semula institusi pondok agar menjadi benteng terkuat dalam mempertahankan akidah, akhlak dan sahsiah umat Islam selari dengan keperluan semasa.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu akan melibatkan kerjasama Kementerian Kewangan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memperkukuh sistem pendidikan pondok, termasuk penerokaan aspek pendigitalan seperti kecerdasan buatan (AI).
"Kita mahu tambah dengan teknologi baru termasuk teknologi maklumat, digitalisasi dan kecerdasan buatan supaya benteng ini kekal sebagai benteng terkuat yang boleh pertahankan akidah, akhlak dan sahsiah ummah," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa kali ke-65 MTHQA 65 di Pusat Dagangan Dunia, di sini.
Menurut Datuk Seri Anwar, sejarah membuktikan ketika sistem politik, ekonomi dan pendidikan negara dilihat tunduk kepada acuan barat, institusi pondok kekal menjadi benteng terakhir mempertahankan jati diri dan nilai Islam dalam kalangan ummah.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, beliau akan meluncurkan "Program Mushaf Ummah" pada 8 Ogos ini dalam usaha memperluas penyebaran Al-Quran dan mesej Islam ke serata dunia melalui terjemahan rasmi ke dalam 30 bahasa dunia.
"Dalam semua perjalanan saya ke seluruh dunia, Peru, Brazil, Perancis, Kemboja dan puluhan negara dalam beberapa tahun ini, setiap kali saya berkunjung, saya akan bawa Al-Quran bersama terjemahan dalam bahasa negara itu dan kita edarkan secara rasmi dan inilah bagi saya satu pendekatan yang baik," katanya.
Terdahulu, MTHQA 65 yang berlangsung dari 2 hingga 9 Ogos ini bertemakan ‘Membangun Ummah MADANI’ menghimpunkan seramai 71 peserta dari 49 negara.
Malaysia diwakili empat peserta, Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan dari Perak dan Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi (Terengganu) bertanding kategori Tilawah manakala Muhammad Adib Ahmad Rozaini (Perak) dan Putri Auni Khadijah Mohd Hanif (Kelantan) bagi kategori Hafazan.
Pemenang kedua-dua kategori itu akan menerima wang tunai RM40,000, naib johan (RM30,000) dan tempat ketiga (RM20,000) serta barang kemas tajaan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).