PUTRAJAYA, 4 Disember- Politeknik perlu mempelbagai hubungan dan jalinan kerjasama dengan semua pihak khususnya pemain industri.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, kedua-dua pihak harus meneroka dan memeterai kerjasama secara menyeluruh dengan pelbagai pihak.
"Ia akan memberikan pendedahan kepada pelajar dan tenaga pengajar dengan pendedahan lebih realistik dan mencabar. Tetapi Insya-Allah ia akan turut menjadi bukti ketersediaan dan keterbukaan kita dalam sektor pendidikan tinggi khususnya dalam bidang teknikal bagi kita menambah baik tawaran kita kepada industri dan masyarakat keseluruhannya," katanya pada Pelancaran Transformasi Politeknik 2023 hingga 2030.
Berbekalkan landskap semasa, pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengambil inisiatif menyusun dan melonjakkan semula kekuatan politeknik.
Ini termasuk ruang bagi penyertaan pihak industri dan usaha pengukuhan kebolehpasaran graduan yang sistematik dan bersifat langsung.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata Transformasi Politeknik 2023 hingga 2030 adalah satu proses mengoptimumkan bakat, potensi serta peluang negara untuk menjadi maju dan berdaya saing melalui lapangan TVET.
Menurut Ahmad Zahid, proses itu bagi memenuhi keperluan dan cabaran semasa bagi memastikan politeknik kekal relevan merentasi pelbagai industri.
Antara keperluan dan cabaran tersebut termasuk cabaran abad ke- 21 termasuk Revolusi Industri (IR 4.0), 'Internet of Things' (IoT) dan teknologi pintar.
"Kesemua ini merupakan satu ledakan baru yang menuntut kepada penyelarasan semua program latihan yang ditawarkan oleh politeknik. Ia mesti bersifat semasa dan relevan. Ia juga mesti menjawab segala keperluan dan permintaan terkini pasaran guna tenaga. Saya mengharapkan semua kandungan pengajian, kaedah, pedagogi dan pendekatan pembelajaran mesti diubah. Dan fokus sesuatu penyelidikan dan inovasi mesti tidak dapat dielakkan lagi," kata Ahmad Zahid.
Transformasi itu memerlukan jalinan kerjasama politeknik dengan semua pihak khususnya pemain industri.
Selain, membudayakan pemikiran yang dipacu daya cipta yang merupakan salah satu daripada gagasan Malaysia MADANI.
Agenda transformasi itu boleh turut dilihat sebagai tindak balas dan sambutan sektor pendidikan tinggi kepada keperluan pasaran kerja negara, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam bidang TVET.