KUALA LUMPUR, 25 November - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), memandang serius isu tular berkaitan cakera brek motosikal yang didakwa memaparkan lambang lucah seperti didedahkan seorang pengguna media sosial.
Pengarah JAWI, Hanifuddin Roslan, dalam satu kenyataan memaklumkan, siasatan menyeluruh akan dilakukan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) susulan penggunaan simbol tidak sopan pada produk bertentangan dengan tatasusila rakyat Malaysia.
"Video dimuat naik pengguna media sosial dikenali sebagai Shinji Nagato, memaparkan dakwaan penggunaan lambang lucah pada alat ganti motosikal yang dipercayai dikeluarkan oleh pihak tertentu.
"JAWI menegaskan siasatan lanjut akan diteruskan bagi mendapatkan maklumat terperinci sebelum tindakan sewajarnya diambil, termasuk melalui kerjasama rapat dengan kementerian berkenaan," menurut kenyataan itu.
Para pengeluar dan pengguna dinasihatkan agar tidak menggunakan sebarang lambang lucah pada produk atau barangan harian, kerana perbuatan itu tidak mencerminkan adab serta nilai masyarakat Malaysia.