PUTRAJAYA, 25 November - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan belum menerima sebarang laporan rasmi berhubung dakwaan wujudnya tawaran 'soalan bocor' yang tular di media sosial sejak semalam.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd Azam Ahmad, berkata, Lembaga Peperiksaan sedang menjalankan siasatan terperinci mengikut prosedur ditetapkan bagi memastikan integriti peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sentiasa terpelihara.
"Setakat ini tiada laporan rasmi diterima. Namun Lembaga Peperiksaan sedang menyiasat perkara tersebut mengikut prosedur sedia ada," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam sidang media di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 11(1) di sini hari ini.
Jelas beliau, KPM memantau perjalanan peperiksaan secara harian, khususnya aspek keselamatan dan kerahsiaan set kertas soalan bagi memastikan tiada ruang berlaku penyelewengan.
"Dengan pengalaman panjang Lembaga Peperiksaan dan kerjasama semua agensi, insya-Allah SPM 2025 dapat berlangsung dengan lancar," jelasnya.
Dalam pada itu, Dr. Mohd Azam menasihatkan semua calon agar memberi tumpuan sepenuhnya sepanjang tempoh peperiksaan yang berlangsung sehingga awal Januari, tanpa terpengaruh dengan sebarang isu atau maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu fokus.
Orang ramai juga diseru supaya tidak menyebarkan kandungan meragukan, sebaliknya merujuk kepada saluran rasmi KPM dan Lembaga Peperiksaan untuk pengesahan.