PUTRAJAYA, 25 November - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil tindakan proaktif bagi memastikan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak berdepan masalah untuk hadir ke pusat peperiksaan apabila musim banjir tiba.
Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad berkata, kementerian telah mengenal pasti lebih awal kawasan berisiko banjir yang berpotensi menjejaskan pergerakan calon, termasuk laluan sungai yang menjadi satu-satunya akses antara rumah dan pusat peperiksaan.
Pihak sekolah dan Jabatan Pendidikan Negeri sudah menghubungi keluarga calon terlibat untuk menyusun langkah pemindahan awal dan persediaan telah dimulakan seawal Oktober.
"Bagi anak-anak yang berisiko terputus hubungan akibat banjir, kita pindahkan lebih awal ke sekolah yang menjadi pusat peperiksaan dan mempunyai asrama," jelasnya.
Menerusi data yang dieprolehi, jumlah calon terkesan banjir setiap tahun sekitar dua hingga empat calon di setiap lokasi namun tindakan awal dilakukan bagi memastikan mereka dapat menduduki peperiksaan tanpa gangguan.
Susulan itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek turut menasihati semua pengurus peperiksaan negeri dan pengarah pendidikan agar memastikan koordinasi awal dilaksanakan sebelum banjir berlaku.
KPM menegaskan komitmen untuk memastikan semua calon dapat menduduki peperiksaan dengan selamat dan teratur meskipun berdepan situasi cuaca tidak menentu.