RAUB, 25 November - Seramai 22 individu terjejas banjir di Pahang terdiri daripada 10 keluarga dipindahkan ke Balairaya Kampung Ulu Sungai, di sini.
Ia merupakan PPS pertama di negeri itu yang dibuka pada 10.30 malam tadi bagi menempatkan penduduk terjejas banjir dari Kampung Ulu Sungai, Batu Talam, Raub.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Raub, memaklumkan jumlah tersebut termasuk lapan orang warga emas dan seorang orang kurang upaya (OKU).
Agensi terlibat ialah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), polis, bomba, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung.
Pihak APM membantu dalam kerja-kerja pengurusan penduduk terjejas di PPS bersama JKM.
Keadaan air sungai Lipis menunjukkan trend berkurang namun keadaan cuaca masih lagi hujan.
Di Perak, jumlah penduduk terjejas terus meningkat kepada 2,678 penduduk daripada 845 keluarga.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri menerusi kenyataan memaklumkan, 29 PPS masih dibuka melibatkan enam daerah.
Manjung kekal daerah paling teruk terjejas dengan Seribu 310 penduduk daripada 401 keluarga dipindahkan ke 13 PPS yang dibuka.
Daerah lain yang turut terjejas adalah di Perak Tengah, Bagan Datuk, Hilir Perak, Muallim serta Larut Matang dan Selama.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku di beberapa kawasan di negeri itu sehingga esok.
Justeru penduduk di kawasan berisiko diingatkan supaya sentiasa berwaspada dan berpindah ke PPS sekiranya diarahkan.
Dalam pada itu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak memaklumkan dua sungai di Perak iaitu Sungai Bidor dan Sungai Slim telah melepasi paras bahaya iaitu pada bacaan 4.59 dan 27.82 meter.
Di Kedah jumlah penduduk terjejas banjir terus meningkat kepada 1,632 orang daripada 525 keluarga yang ditempatkan di 12 PPS di dua daerah iaitu Kubang Pasu dan Kulim.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah dalam kenyataannya memaklumkan setakat pukul 8.00 pagi, jumlah penduduk terjejas meningkat berbanding 1,207 orang daripada 382 keluarga yang ditempatkan di sembilan PPS pada 12 tengah malam tadi.
Daerah Kubang Pasu mencatatkan jumlah penduduk terjejas paling ramai iaitu 1,361 orang di 10 PPS membabitkan 29 kampung.
Kesemua 10 PPS terbabit ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun, Masjid Al Ikhsan Changkat Setoi, Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Batu 8, Dewan Kampung Tradisi, SK Binjal.
Lima lagi PPS baru dibuka di daerah itu ialah Dewan Kodiang dan Dewan Felda Batu 8, Dewan Kampung Tradisi Paya Pahlawan, SK Malau dan Dewan Padang Sera.
Sementara itu, banjir di daerah Kulim semakin berkurangan kepada 271 orang daripada 76 keluarga yang ditempatkan di dua PPS.
Setakat ini, dua PPS masih aktif di daerah itu ialah Masjid Al Muhtadin Sungai Seluang dan SK Permatang Tok Dik.
Di Perlis, bilangan penduduk terjejas banjir terus meningkat kepada 3,746 melibatkan 1,151 keluarga.
Menurut Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis Ku Chik Ku Mat Esa, sebanyak 15 PPS telah dibuka di seluruh Perlis.
Bagi Parlimen Padang Besar sebanyak lapan PPS dibuka sejak dua hari lalu.
Manakala di Kangar empat PPS melibatkan Dewan Warisan, Dewan 2020, Kampus Institut Pendidikan Guru (IPG) Sekolah Kebangsaan (SK) Panggau dan SK Guar Nangka dibuka untuk menempatkan penduduk di sekitar yang terjejas.
Arau pula sebanyak dua PPS dibuka di Dewan Serbaguna Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Kubang Gajah dan UiTM Arau.
Manakala beberapa jalan utama di negeri itu turut ditutup sejak semalam bagi mengelakkan berlaku kemalangan jiwa.
Selain itu, Mara Liner Sdn Bhd turut mengumumkan penutupan sementara semua laluan MyBas di Perlis berikutan kenaikan paras air.