fb fb fb fb fb

SOP Pasukan Malbatt 850 akan ditambah baik mengikut keperluan

Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Panglima Mohammad Ab Rahman/FOTO RTM

SEREMBAN, 4 Disember- Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi Pasukan Malaysia Batalion (MALBATT) 850 akan ditambah baik dari masa ke masa mengikut keperluan.

Ia berikutan Konflik Israel-Gaza yang tercetus sejak 7  Oktober lalu yang memberi kesan kepada keselamatan di Selatan Lubnan.

Menurut Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Panglima Mohammad Ab Rahman , kesemua anggota Malbatt berada dalam keadaan baik berikutan kawasan kejadian berada 22 Kilometer dari kem Marakah dan 15 dari kem Tibnin.

"Kita tengok SOP sedia ada memadai buat masa ini bila berlaku ketegangan.

“Setakat ini, keadaan kontinjen Malbatt masih terkawal dan sentiasa meningkatkan kesiagaan operasi serta berwaspada kepada sebarang kemungkinan yang berlaku dan tertakluk kepada arahan UNIFIL,” katanya demikian ketika ditemui media pada Perbarisan Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) dan Pembubaran MALBATT 850-10 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di sini.

Tambahnya kesiapsiagaan operasi juga sentiasa dipertingkatkan bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku.

Terdahulu media melaporkan seramai 216 anggota Malbatt 850-11 yang merupakan kumpulan kedua telah berangkat ke Lubnan pada 7 November lalu.

Pada Perbarisan Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) dan Pembubaran MALBATT 850-10 itu seramai 854 kontinjen Malbatt menerima Penganugerahan Pingat PNBB.

Sementara itu, Mohammad Ab Rahman turut memaklumkan Pasukan Malaysia Battalion (MALBATT) 850-11 di Lubnan dijangka menerima 20 buah kenderaan tempur berperisai (APC) Panthera pada awal tahun hadapan dengan jumlah perolehan sebanyak RM190 juta.

Menurutnya, kenderaan itu bakal menggantikan aset usang termasuk Kenderaan Perisai Radzpanzer Condor (RPZ Condor) 4x4.

“20 buah kenderaan itu kami jangka diterima awal Januari ini. Selain itu, terima kasih dan syukur Alhamdulilah saya ucapkan kepada kerajaan kerana telah meluluskan peruntukan perolehan sebanyak 50 buah high mobility light tactical vehicle untuk menggantikan kenderaan di Lubnan.

“Kami akan terima perolehan bernilai RM400 juta ini tahun hadapan, namun perolehan ini akan mengambil sedikit masa kerana ia dibuat mengikut keperluan kita, kita mahu senjata jenis apa, kita mahu elektronik dalam jenis apa, jadi ia mengambil masa,” katanya.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD