fb fb fb fb fb

Lebih 1,800 anggota polis, ESSCOM undi awal

Dewan Sri Mawar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu

LAHAD DATU, 25 November - Seramai 1,827 anggota keselamatan, pasangan serta kakitangan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dijadualkan mengundi awal di lima lokasi pengundian.

Lima lokasi berkenaan ialah Balai Polis Cenderawasih, Markas 13 Briged ESSCOM di Kem Cenderawasih, Dewan Sri Mawar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, Dewan Serbaguna Batalion 17 Pasukan Gerakan Am (PGA), serta Rumah Kelab Polis IPD Kunak.

Dewan Sri Mawar di IPD Lahad Datu menjadi pusat pengundian awal bagi Parlimen Lahad Datu sempena dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang dibuka bermula pukul 8.00 pagi.

Sejak awal pagi, anggota keselamatan mula tiba di pusat pengundian dengan aliran keluar masuk pengundi lancar dan terkawal. Keadaan cuaca juga dilaporkan dalam keadaan baik.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan bahawa semua aspek logistik dan keselamatan berada pada tahap optimum bagi memastikan proses pengundian awal berjalan lancar, telus dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Proses pengundian awal akan diteruskan sehingga pukul 5.00 petang.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI