ALOR SETAR, 25 November - Beberapa sungai utama serta sistem pengairan bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berada dalam keadaan terkawal, walaupun keadaan hujan lebat berterusan bermula pada pukul 5.00 petang, 23 November lalu telah menyebabkan peningkatan paras air di sungai-sungai utama dan terusan di Kawasan Muda.
Setakat semalam, kedudukan semasa takungan empangan menunjukkan jumlah keseluruhan berada pada paras 62.75 peratus. Empangan Pedu merekodkan 61.76 peratus, Empangan Muda 73.60 peratus dan Empangan Ahning 60.55 peratus.
Berikutan peningkatan hujan di kawasan tadahan, pelepasan dari empangan telah ditutup sepenuhnya bermula pukul 5.45 petang, 23 November lalu bagi mengekang peningkatan paras air sungai di kawasan hilir.
MADA dalam kenyataan memaklumkan, berdasarkan rekod hujan di kawasan tadahan bendang, MADA Wilayah I, Perlis mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 100.9 mm, diikuti Wilayah II, Jitra 66.2mm, Wilayah III, Pendang 16.8mm dan Wilayah IV, Kota Sarang Semut 12.4mm dengan keseluruhan purata Muda merekodkan 48.1mm.
"Hujan di kawasan tadahan sungai turut menunjukkan pola kenaikan ketara terutamanya di Sungai Arau (90.0mm), Sungai Padang Sanai (83.0mm) dan Sungai Padang Terap (64.5mm).
"Hasil rekod mendapati paras sungai utama seperti Sungai Arau berada pada tahap bahaya. Namun, langkah kawalan telah diaktifkan melalui pembukaan pintu kawalan air dan operasi agihan air lebihan di terusan utama bagi memastikan aliran bergerak lancar," menurut kenyataan itu.
Sementara itu paras air di terusan dan Sungai Kedah juga dipantau manakala struktur kawalan pasang surut Ampang Jajar dibuka dan akan diselaraskan mengikut pasang surut air laut.
Status semasa aktiviti tanaman padi di Kawasan Muda sehingga 19 November lalu menunjukkan bahawa aktiviti penuaian telah mencapai 98.9 peratus bagi Musim 1/2025.
Manakala bagi Musim 2/2025 aktiviti penyediaan tanah adalah 88.7 peratus dan aktiviti penanaman mencatat 53.9 peratus.
"Sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi banjir, pihak MADA telah memastikan pelaksanaan operasi pengurusan bencana dilaksanakan secara sistematik dan teratur dengan penglibatan anggota secara menyeluruh.
"Persediaan bantuan logistik turut diperkukuh dengan penyediaan aset seperti pam bergerak, bot, lori dan jentera jengkaut bagi memastikan tindak balas dapat dilaksanakan dengan lebih efektif dan berkesan sekiranya berlaku bencana," tambah kenyataan itu.
Sungai utama bawah seliaan MADA terkawal
powered by social2s