PUTRAJAYA, 25 November - Seramai 413,372 calon menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 bermula di seluruh negara hari ini melibatkan pusat-pusat peperiksaan bawah Kementerian Pendidikan (KPM), institusi agama, sekolah swasta serta calon persendirian.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad, berkata, peperiksaan tahun ini kembali dilaksanakan mengikut jadual asal pada bulan November dan Disember seperti sebelum pandemik COVID-19 dan hari pertama menyaksikan calon menduduki kertas Bahasa Melayu 1 dan 2, manakala ujian lisan dan mendengar telah selesai lebih awal.
"Alhamdulillah, kita dapat mulakan SPM tahun ini dengan teratur dan berjalan seperti dijadualkan di semua 16 negeri.
"Pagi tadi saya telah menerima maklumat daripada semua 16 pengarah pendidikan negeri mengenai pelaksanaan SPM. Saya telah bertanya seorang demi seorang mengenai tahap kesiapsiagaan, dan mereka memaklumkan bahawa setiap negeri bersedia serta peperiksaan SPM berjalan seperti yang dirancang," katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa KPM telah merangka pelbagai langkah kontingensi melalui OP Payung, melibatkan kerjasama strategik bersama agensi seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Seramai 259 calon dikenal pasti terkesan banjir, namun kesemuanya dapat dibantu sama ada melalui pemindahan awal atau pengangkutan khas dari agensi keselamatan.
"Yang penting, tiada calon tercicir. Kita sudah ambil tindakan awal, termasuk menyediakan pusat alternatif jika dewan peperiksaan digunakan sebagai pusat pemindahan sementara," jelas Dr. Mohd Azam.
Beliau turut memaklumkan semua Pengarah Pendidikan Negeri mengesahkan peperiksaan di negeri masing-masing berjalan seperti dijadualkan.