fb fb fb fb fb

Jemaah haji terakhir musim 1446H/2025M selamat tiba

Jemaah haji negara yang terakhir musim 1446H/2025M selamat tiba / Foto Facebook Dato' Setia Dr. Naim

PUTRAJAYA, 25 November - Jemaah haji negara yang terakhir musim 1446H/2025M selamat tiba di tanahair setelah lima bulan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) , Hospital Saudi German, Makkah akibat pneumonia. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, kejayaan misi membawa pulang Asmah Mansor, 71 tahun, bukti keprihatinan rakyat Malaysia yang telah menghulurkan sumbangan ke Tabung Musa'adah JAKIM-Yayasan Waqaf Malaysia bagi menampung kos yang tinggi untuk melaksanakan misi itu.

“Jutaan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia. Kita berjaya mengumpulkan lebih RM575,000 untuk membawa pulang Hajah Asmah ke tanah air.

"Nampak saya tadi, dia sudah menangis kerana gembira, dan kini Alhamdulillah, dia selamat sampai ke tanah air,” katanya selepas hadir menyambut ketibaan warga emas itu di Hospital Putrajaya.

Turut hadir bersama Pengerusi Tabung Haji Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan ahli keluarganya.

Sementara itu, anak sulungnya, Haizan Rusnah tidak menyangka perkara mengenai ibunya menjadi tular.

“Kami langsung tidak menyangka perkara ini boleh menjadi tular. Kami memang tidak terfikir langsung. Kami hanya berdoa kerana tidak tahu apa yang perlu dilakukan, fikiran sudah buntu.

"Tetapi Allah memudahkan urusan, sehingga menteri sendiri yang menularkan perkara ini, bersama rakan-rakan dan semua media sosial, akhirnya, mak saya tiba malam ini. Alhamdulillah," katanya.

Pesawat khas yang membawa Asmah Mansor berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah pukul 4.30 minit pagi (waktu tempatan) selamat mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pukul 8.15 malam. 

Sepanjang 10 jam perjalanan itu, beliau ditemani seorang doktor dan jururawat. 

Sejurus tiba beliau telah dibawa menaiki ambulan ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut.

Datuk Dr. Mohd Naim turut berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat iaitu Lembaga Tabung Haji, pengurusan kerajaan Arab Saudi, Hospital Putrajaya dan pihak media yang membuat liputan berterusan sehingga berhasil mengumpul dana dalam masa yang singkat.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN