fb fb fb fb fb

Pendekatan ‘whole of society’ perkukuh operasi menyelamat, kesediaan komuniti ketika banjir

Timbalan Ketua Pengarah (Pasca Bencana) NADMA, Hussin Moh

KUALA LUMPUR, 25 November - Pendekatan ‘whole of society’ terus menjadi asas utama dalam pengurusan bencana negara, khususnya ketika musim banjir.

Ini bagi memastikan operasi pemindahan dan penyelamatan penduduk terjejas dilaksanakan dengan lebih tersusun, pantas dan selamat.

Timbalan Ketua Pengarah (Pasca Bencana) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Hussin Moh berkata, koordinasi di peringkat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) melibatkan kerjasama rapat antara polis, tentera, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan agensi keselamatan lain.

“Ketua kampung dan penghulu adalah individu penting di lapangan. Mereka memaklumkan lokasi mangsa yang terperangkap dan membantu pasukan penyelamat mengatur tindakan segera. Sebab itu pemindahan awal amat penting untuk mengelakkan situasi berisiko apabila air naik mendadak.

"Apabila air naik secara mendadak, proses menyelamat jadi sukar, apabila air naik dengan laju dan ia membahayakan agensi-agensi yang akan menyelamatkan mangsa," katanya ketika ditemui selepas program Bicara Naratif di Angkasapuri, pada Isnin.

Mengulas lanjut mengenai peranan masyarakat dalam pendekatan ‘whole of society’, beliau berkata program Community-Based Disaster Risk Management (CBDRM) memberi penekanan kepada latihan kesedaran dan persediaan menghadapi bencana.

Katanya, mereka dilatih membuat peta selamat, memahami tindakan ketika bencana dan cara menyelamatkan diri.

Setakat November, lebih 50,000 peserta daripada penduduk kampung, ketua masyarakat, NGO dan belia telah mengikuti latihan itu.

Latihan untuk komuniti dijalankan secara ringkas namun berfokus, biasanya dalam tempoh sehari atau dua hari bagi memastikan keterlibatan masyarakat dapat dikekalkan.

Beliau menjelaskan, penyertaan NGO dan sektor swasta turut diselaraskan bagi mengelakkan pertindihan atau pemberian bantuan yang tidak diperlukan.

“Kita tidak mahu NGO menyalurkan bantuan yang tidak sesuai dengan keperluan mangsa atau secara tidak sengaja menyusahkan petugas di lapangan. Dengan penyelarasan yang baik, bantuan dapat dihantar tepat kepada sasaran,” tambahnya.

Syarikat swasta dan GLC turut memainkan peranan melalui peruntukan dan sokongan logistik, manakala kerajaan memastikan koordinasi menyeluruh di peringkat Persekutuan, negeri dan daerah berjalan lancar.

Pada masa sama, beliau mengingatkan masyarakat agar sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dan mendapatkan maklumat sahih daripada sumber rasmi.

Jangan sebarkan berita palsu kerana ia membazirkan masa serta tenaga agensi penyelamat yang sumbernya terhad.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN