KUALA SELANGOR, 25 November - Beberapa kawasan di sekitar Bandar Sri Coalfields, Bandar Tasik Puteri dan Kota Puteri dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat berterusan sejak awal pagi Isnin.
Pegawai Bomba Kanan II Kirushnan A/L Muniandy dari Balai Bomba dan Penyelamat Bestari Jaya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar pukul 9.00 pagi sebelum anggota digerakkan ke Taman Saujana Aman, salah satu kawasan paling terjejas.
“Ini kawasan Taman Saujana Aman. Kami menerima panggilan sekitar pukul 9 pagi dan sebaik tiba, air masih belum melimpah masuk ke kawasan perumahan. Namun, kira-kira pukul 10 pagi, air sungai mulai melimpah dan menjejaskan lebih kurang 315 keluarga, melibatkan sekitar 700 penduduk.
"Buat masa ini, kerja-kerja penyelamatan masih diteruskan kerana terdapat penghuni yang berdegil dan enggan keluar. Dengan bantuan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), kami berjaya memindahkan mereka ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS),” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk, Syaiful Firdaus Jamaari dari Bandar Sri Coalfields berkata, banjir kali ini bermula sejak pukul 7.00 pagi, dan paras air meningkat lebih cepat berbanding tahun-tahun sebelumnya, walaupun kawasan itu sering mengalami kejadian sama setiap musim hujan.
“Sejak pukul 7 pagi tadi, kami sudah berada di sini. Setiap tahun apabila tiba musimnya, kejadian seperti ini memang berlaku. Malah, pada tahun-tahun sebelumnya, air naik lebih tinggi daripada keadaan sekarang,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Sollahuddin Zuhaimi dari Bandar Tasik Puteri memaklumkan, kejadian banjir bermula kira-kira 2.30 petang, menyebabkan jalan utama di kawasan berkenaan sesak dan tidak boleh dilalui sehingga beliau terpaksa membatalkan perjalanan ke tempat kerja untuk membantu penduduk lain.
“Sejak kira-kira pukul 2.30 petang, saya nampak jalan di sebelah sana mula sesak. Saya sendiri tak dapat melalui kawasan itu walaupun sepatutnya pergi kerja. Jadi bila nampak keadaan begitu, kita bantu apa yang mampu,” katanya.
Pihak bomba dan agensi keselamatan terus memantau paras air, dan penduduk di kawasan berisiko dinasihat berwaspada sekiranya hujan berterusan.