fb fb fb fb fb

Jangan tular video banjir lama, elak cetus panik - NADMA

Ketua Pengarah NADMA, Meor Ismail Meor Akim

PENGKALAN CHEPA, 25 November - Orang ramai diingatkan supaya tidak menular atau mengulang siar video lama berkaitan banjir, kerana ia boleh menimbulkan panik dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Meor Ismail Meor Akim menegaskan, hanya saluran rasmi perlu dijadikan rujukan bagi mendapatkan perkembangan sebenar situasi banjir.

Pengguna media sosial seharusnya lebih bertanggungjawab dalam berkongsi maklumat, terutama ketika musim tengkujuh.

“Tugas kita adalah menyampaikan berita, bukannya mencari tontonan. Setiap laporan yang kita hasilkan perlu bertanggungjawab. Itu sahaja pesan saya," katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan operasi banjir di PPS SK Sabak di sini.

Tambah beliau, walaupun sembilan negeri kini berhadapan situasi banjir, Kelantan mencatatkan jumlah penduduk terjejas paling tinggi.

Dalam pada itu, kerjasama antara agensi di bawah NADMA disifatkan berada pada tahap baik, mengikut standard operasi yang ditetapkan, malah tiada rungutan daripada penghuni PPS yang turut memberikan kerjasama positif.

Semua penduduk terkesan dinasihat untuk membuat pendaftaran bagi membolehkan bantuan disalurkan terus ke akaun masing-masing sebaik sahaja mereka keluar dari PPS bagi membeli keperluan asas.

Dalam perkembangan berkaitan, Meor Ismail berkata, beliau meninjau sendiri kebimbangan orang ramai mengenai bencana itu namun mengesahkan keadaan masih dalam kawalan.

Berhubung calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas, Jabatan Pendidikan Negeri telah mengambil tindakan segera dan semuanya berada dalam keadaan baik, termasuk di negeri-negeri lain yang turut terjejas.

Mengulas laporan banjir membabitkan kawasan Lembah Klang termasuk Shah Alam, beliau meminta orang ramai tidak menimbulkan rasa panik kerana semua agensi terlibat telah membuat persiapan awal.

Hampir seratus ribu pasukan keselamatan tidak termasuk NGO, dengan pelbagai aset digerakkan mengikut keperluan.

Beliau turut memaklumkan, tujuh gelombang hujan dijangka melanda Pantai Timur sehingga Mac, dengan ramalan hujan berterusan sehingga Selasa.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN