fb fb fb fb fb

Lelaki ada sejarah penyakit sawan, lemas bot dinaiki terbalik

FOTO BOMBA

RANTAU PANJANG, 4 Disember- Seorang lelaki ditemukan mati lemas selepas bot yang dinaikinya terbalik dalam kejadian di Kampung Bakat, Rantau Panjang Kelantan, pukul 2 petang tadi.
 
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Shapawi Stapa berkata, mangsa Mohd Kamarudin Mohamed Yahya,44 tahun sedang dalam perjalanan pulang bagi memeriksa keadaan banjir di kawasan rumahnya sebelum terbalik dan lemas di dalam air banjir sedalam satu meter.
 
Menurut beliau, pihaknya menerima laporan berkenaan melalui panggilan MERS 999 pada pukul 2.09 petang.
 
Sejurus kemudian, beliau bersama lapan anggota terlibat bergegas ke lokasi kejadian bagi kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa.
 
Bagaimanapun katanya, setibanya di lokasi kejadian, anggota mendapati mayat mangsa telahpun dibawa ke darat oleh isterinya, Nur Zubaila Ramli, 36 tahun selepas menyedari mangsa lemas.
 
Menurut Zubaila, mangsa akan berulang-alik dua hingga tiga kali sehari bagi memeriksa keadaan banjir di rumah mereka serta pukat ikan yang dipasangnya.
 
Mangsa juga dipercayai mempunyai sejarah penyakit sawan.
 
Pemeriksaan oleh pegawai daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati mangsa telah pun meninggal dunia.
 
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE