TANJONG MALIM, 19 Mei- Pendidikan tinggi negara perlu melalui proses transformasi menyeluruh sekali gus kekal seiring perubahan pesat teknologi serta keperluan generasi masa kini dalam menghadapi dunia semakin kompleks.
Pengarah Bahagian Kecemerlangan Akademik, Jabatan Pendidikan Tinggi, Profesor Madya Dr. Azidah Abu Ziden berkata, pendidikan tinggi negara perlu bersifat anjal, responsif dan inklusif serta tidak lagi terikat dengan pendekatan konvensional semata-mata.
"Dalam dunia yang semakin kompleks ini, pendidikan tinggi tidak boleh static, malah kita tidak boleh lagi hanya menawarkan program akademik yang bersifat konvensional tanpa melihat kepada kesesuaiannya dengan realiti semasa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian sempena Seminar kebangsaan Hala Tuju Program Akademik 2025 (SEPAKAD’25) di Dewan Muallim, Hotel Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini hari ini.
Seminar bertemakan 'Transformasi Program Akademik Dalam Menghadapi Cabaran Generasi Alpha' itu menghimpunkan ahli serta tokoh akademik dan industri bagi membincangkan hala tuju program akademik lebih responsif, inklusif dan mampan.
Azidah berkata, Revolusi Industri 5.0 membawa perubahan ketara dalam ekosistem pendidikan apabila teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), automasi dan Internet Pelbagai Benda (IoT) mempengaruhi cara hidup, selain menuntut integrasi nilai kemanusiaan bersama inovasi teknologi.
Generasi Alpha iaitu generasi yang lahir selepas 2010 merupakan kumpulan pertama yang membesar sepenuhnya dalam persekitaran digital dan mempunyai keperluan serta gaya pembelajaran berbeza berbanding generasi sebelumnya.
"Mereka bukan sahaja celik teknologi, tetapi juga mengharapkan pembelajaran pantas, visual dan 'immersive'. Cabaran besar menanti kita bagaimana untuk membangunkan program akademik yang bukan sahaja menarik minat mereka, tetapi juga membentuk pemikiran kritis, etika dan daya tahan mereka," katanya lagi.
Perubahan kurikulum perlu dilaksanakan dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk ahli akademik, industri, pembuat dasar dan pelajar kerana pembangunan program akademik hari ini adalah asas kepada pembentukan masa depan negara.
"Saya percaya bahawa perubahan kurikulum bukan sekadar kerja akademik, tetapi ia adalah tanggungjawab nasional. Kita sedang menyediakan masa depan negara melalui bilik kuliah, makmal dan tutorial hari ini," ujar beliau.
Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata sistem pendidikan tinggi mesti menjalani transformasi radikal dan menyeluruh bagi membentuk graduan yang bersedia menghadapi cabaran era baharu.
"Kita kini berhadapan dengan Generasi Alpha, satu generasi yang lahir dalam dunia digital, membesar dengan skrin dan algoritma. Mereka tidak hanya mencari ilmu, mereka mencari pengalaman, kefahaman global dan kesediaan kerjaya yang berakar pada fleksibiliti," katanya.
Gaya pembelajaran generasi itu bersifat visual, interaktif dan pantas serta berorientasikan tindakan serta penciptaan, bukan sekadar penghafalan fakta.
"Mereka belajar bukan hanya untuk tahu, tetapi untuk bertindak, mencipta dan mengubah dunia. Mereka tidak mahu hanya sekeping sijil, mereka mahukan kemahiran masa depan, pengalaman dunia sebenar dan nilai yang lestari dengan pantas," katanya lagi.
Sehubungan itu, menurut Md Amin program akademik tidak boleh lagi kekal dalam kerangka lama, sebaliknya perlu berubah dari segi kurikulum, pedagogi dan penilaian secara menyeluruh dan strategik.
"Teknologi perlu dianggap sebagai rakan, bukan gangguan. Industri pula perlu menjadi rakan kongsi, bukan sekadar penaja dan yang paling penting, pelajar mesti dilihat sebagai peneraju proses pembelajaran, bukan sekadar penerima maklumat," katanya.
Pengarah Bahagian Akademik dan Antarabangsa, Prof Madya Dr Ridzwan Che Rus berkata seminar anjuran Bahagian Hal Ehwal Akademik (BHEA) UPSI dengan kerjasama Institut Pengajian Siswazah (IPS) UPSI dan Pusat Pembangunan Akademik (PPA) UPSI itu menjadi medan strategik yang signifikan dalam memacu masa depan pendidikan tinggi negara.
Majlis itu juga menyaksikan sesi ucaptama disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Profesor Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran bertajuk “Transformasi Program Akademik Dalam Menghadapi Cabaran Generasi Alpha.”
Tan Sri Datuk Profesor Emeritus Dr. Dzulkifli Abdul Razak dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM); Datuk Profesor Emerita Dr. Asma Ismail (IMU Universiti) serta Datuk Satinah Syed Saleh dari Universiti Cyberjaya turut menyampaikan ucapan sempena seminar diadakan forum SEPAKAD’25.
Majlis berkenaan turut dihadiri Pengerusi SEPAKAD’25, Suhaila Sidek; Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed; Penasihat Undang-Undang UPSI, Salwati Mohd Aris; Ketua Pustakawan UPSI, Noriha Muhammad.