PEKAN, 19 Mei- Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berangkat bercemar duli ke perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah di Pulau Keladi hari ini.
Keberangkatan baginda diiringi Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah untuk melihat sendiri cara pembuatan tenun Pahang yang diinspirasikan Tunku Azizah.
Di perkampungan tersebut, Tengku Permaisuri Selangor diiringi Tengku Ampuan Pahang berkenan melawat ke rumah serambi Pahang, rumah kelahiran Tun Razak, Balai Tengku Ampuan, Villa, Bengkel dan Balai Tengku Ampuan II.
Turut dilawati ialah Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja (Kraftangan) dan Che Minah Sayang sebelum berangkat ke Muzium Sultan Abu Bakar, Pekan.
Di Muzium Sultan Abu Bakar, Tengku Permaisuri Selangor diiringi Tengku Ampuan Pahang berkenan melawat Galeri Pemerintahan Pahang, Galeri Daulat Tuanku, Galeri Istana sebagai Pusat Kebudayaan, Kesenian dan Intelektual/ Wanita Dalam Istana; Galeri Arkeologi Pahang dan Galeri Pesona Inderapura.
Tengku Permaisuri Selangor yang diiringi Tengku Ampuan Pahang kemudian berangkat ke Muzium Masjid Sultan Abdullah di Pekan; dan Penjara Penor untuk melihat penghuni penjara menghasilkan Tenun Pahang Diraja yang berkualiti tinggi dari segi estetika, rekaan, teknik serta kemahiran.