fb fb fb fb fb

Malaysia berpotensi jadi hab REE serantau - Nik Nazmi

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad / Foto BERNAMA

KLANG, 19 Mei- Loji pemprosesan nadir bumi milik Lynas di Kuantan, Pahang kini muncul sebagai fasiliti kedua di luar China dalam sektor pemprosesan unsur nadir bumi (REE).

Ia sekali gus menjadikan Malaysia antara pemain utama dalam industri ini di peringkat global.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, perkembangan itu membuka ruang kepada persaingan sihat dalam kalangan negara pengeluar REE dan memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan global.

"Ini akan meningkatkan lagi persaingan dalam sektor nadir bumi. Malaysia juga mempunyai hubungan baik dengan China dan Australia, dua negara utama dalam industri perlombongan REE," ujarnya.

Menurut Nik Nazmi, pembukaan loji berkenaan bukan sahaja memberi manfaat dari segi ekonomi, tetapi turut memperkukuh kerjasama strategik Malaysia dengan negara lain dalam aspek pertukaran teknologi.

"Malaysia sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan semua pihak, termasuk dalam pelaksanaan perancangan Lynas.

"Pada masa sama, perbincangan antara Presiden China, Xi Jinping dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kuala Lumpur pada April lalu turut menyaksikan kesepakatan untuk berkongsi maklumat dan teknologi berkaitan pemprosesan REE," jelasnya.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD