fb fb fb fb fb

Transaksi BNPL meningkat 102.6 juta pada separuh pertama 2025

Lim Hui Ying / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 Julai - Jumlah transaksi "Beli Sekarang, Bayar Kemudian" (BNPL) terus mencatat peningkatan ketara apabila merekodkan 102.6 juta transaksi dalam separuh pertama tahun ini, berbanding 83.8 juta transaksi pada separuh kedua tahun lalu.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, peningkatan mendadak dalam penggunaan BNPL mendedahkan golongan berpendapatan rendah dan kurang celik kewangan kepada risiko keberhutangan.

Nilai transaksi BNPL naik 31 peratus kepada RM9.3 bilion pada separuh pertama 2025, berbanding RM7.1 bilion sebelum ini, manakala akaun aktif meningkat kepada 6.5 juta berbanding 5.1 juta pada akhir 2024.

“Bagi menangani permasalahan ini dan melindungi kepentingan pengguna kredit, sebuah badan berkanun dikenali sebagai Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) akan ditubuhkan di bawah RUUKP (Rang Undang-Undang Kredit Pengguna).

“Suruhanjaya ini akan mengawal selia sektor perniagaan yang kini tidak dikawal selia oleh mana-mana pihak melalui rangka kerja pelesenan dan pendaftaran yang akan dilaksanakan di bawah RUUKP,” katanya.

Katanya ketika membentangkan RUUKP 2025 untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Jelasnya, suruhanjaya itu akan memantau dan mengawal selia pemain industri yang sebelum ini beroperasi tanpa pengawasan mana-mana pihak berkuasa, menerusi pelaksanaan pelesenan dan pendaftaran di bawah RUUKP.

RUU itu sebelum ini dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada 4 Mac lalu, sebagai langkah memperkenalkan kerangka undang-undang menyeluruh dalam melindungi pengguna kredit dan menstruktur semula landskap industri kredit negara.

Menurut Lim, SKP akan diletakkan di bawah seliaan Kementerian Kewangan.

Tambahnya RUUKP dirangka bagi menangani dua isu utama iaitu kewujudan entiti kredit yang tidak dikawal serta ketidakselarasan pengawasan sektor oleh pelbagai agensi.

"Objektif utama RUUKP ialah melindungi pengguna kredit melalui pengawalseliaan menyeluruh ke atas semua perniagaan kredit dan perkhidmatan berkaitan.

"Ia juga akan memastikan amalan pinjaman yang bertanggungjawab serta pembangunan industri kredit yang adil dan telus," katanya lagi.

RUUKP turut memperincikan peranan SKP untuk menasihati kerajaan dalam dasar kredit pengguna serta menggalakkan amalan pemberian kredit yang adil, profesional dan bertanggungjawab.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM