KUALA LUMPUR, 21 Julai – Individu yang membuang sampah kecil merata-rata boleh dikenakan hukuman khidmat masyarakat sehingga 12 jam sekiranya pindaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) diluluskan di Dewan Rakyat, hari ini.
Kesalahan itu termasuk membuang sampah kecil seperti puntung rokok, tisu dan pembungkus makanan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, pindaan menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Pindaan) 2025 itu memberi kuasa kepada mahkamah untuk menjatuhkan hukuman khidmat masyarakat sebagai tambahan kepada denda sedia ada.
“Pindaan ini bertujuan mengadakan peruntukan bagi kesalahan membuang, mencampak, menempatkan, atau meninggalkan apa-apa sisa pepejal di mana-mana tempat awam atau jalan awam.
"Mahkamah boleh membuat perintah khidmat masyarakat… sebagai tambahan kepada denda sedia ada yang dikenakan bagi kesalahan itu,” katanya ketika membentangkan RUU berkenaan bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.
Nga berkata, mahkamah juga akan mempertimbangkan keadaan fizikal dan mental orang yang disabitkan dengan kesalahan membuang sampah bagi melaksanakan perintah khidmat masyarakat.
Katanya, melalui pindaan itu, mahkamah juga perlu menerangkan kepada orang yang disabitkan itu mengenai kesan perintah khidmat masyarakat itu dan akibat tidak mematuhinya.
Beliau berkata, cadangan pelaksanaan langkah itu adalah melalui pewujudan Seksyen 77B membabitkan lapan subseksyen baharu akta berkenaan.