fb fb fb fb fb

Penjawat awam perlu kekal berkecuali - CUEPACS

Datuk Dr Adnan Mat

KUALA LUMPUR, 21 Julai - Penjawat awam perlu kekal berkecuali dan tidak terlibat dalam sebarang tindakan yang boleh menjejaskan imej serta kepercayaan rakyat terhadap perkhidmatan awam.

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dalam kenyataan berkata, penjawat awam perlu kekal fokus terhadap tanggungjawab utama mereka iaitu menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat tanpa dipengaruhi oleh sebarang agenda yang boleh menjejaskan integriti dan profesionalisme perkhidmatan awam.

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, penjawat awam adalah tunjang kepada kestabilan pentadbiran negara dan perlu sentiasa menunjukkan sikap profesional, berintegriti serta memelihara tatasusila dalam menyampaikan perkhidmatan kepada masyarakat.

"Sebagai jentera pelaksana dasar kerajaan, penjawat awam perlu mendukung sepenuhnya prinsip Rukun Negara terutama Kesetiaan Kepada Raja dan Negara serta Keluhuran Perlembagaan yang menjadi asas kepada keharmonian dan perpaduan nasional," katanya.

Menurut Datuk Dr Adnan, sebarang tindakan yang menyimpang daripada prinsip ini bukan sahaja mencemarkan nama baik perkhidmatan awam malah boleh mengganggu kelangsungan sistem pentadbiran negara.

“CUEPACS menyeru semua penjawat awam supaya kekal fokus kepada amanah yang telah diberikan dan tidak terpengaruh dengan sebarang bentuk provokasi atau aktiviti yang boleh menjejaskan imej perkhidmatan awam di mata rakyat,” katanya.

Semalam, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengingatkan penjawat awam agar tidak menyertai acara perhimpunan yang dijadual berlangsung di ibu negara pada Sabtu ini.

Beliau berkata, tidak sewajarnya penjawat awam menyertai perhimpunan berkenaan kerana tindakan itu tidak sesuai dengan prinsip Kesetiaan Kepada Raja dan Negara. - BERNAMA

KHAIRUL AMRI BIN YASIN