TEMERLOH, 21 Julai – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyeru anak-anak negeri yang berhijrah kembali mencurah bakti di tanah kelahiran mereka.
Ia seiring kemajuan pesat sedang dinikmati negeri itu dengan perolehan jumlah pelaburan direalisasikan tertinggi di Pantai Timur.
“Kita sentiasa terbuka dan mengalu-alukan mereka balik ke Pahang. Peluang pekerjaan yang disediakan semakin banyak.
"Saya sendiri bertemu dengan anak-anak Pahang di Muar baru-baru ini, dan mereka nyatakan kesediaan untuk pulang jika ada tawaran lebih baik,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Asyura Peringkat Negeri Pahang di Surau Kampung Paya Laman, di sini.
Menurut Datuk Seri Wan Rosdy, perkembangan ekonomi Pahang yang memberangsangkan menjadi pemangkin kepada penciptaan lebih banyak peluang pekerjaan.
Sehingga Jun 2025, Pahang mencatatkan pelaburan direalisasikan tertinggi di Pantai Timur sebanyak RM4 bilion.
Malah, negeri itu turut mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) 5.7 peratus bagi tahun 2024, mengatasi purata nasional 5.1 peratus dengan nilai KDNK berjumlah RM68.7 bilion.