fb fb fb fb fb

Tragedi kepala air: Abang laung azan, ikhtiar cari adik

KEMAMAN, 6 Julai- Tangannya menggigil, selain mata kemerahan dan wajah kelihatan lesu.

Namun, Shahrizal Salimin, 40, masih setia menanti perkhabaran tentang adiknya, Mohamad Fikri Saliman, 24, yang masih hilang dalam tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, Chukai.

Selain Mohamad Fikri, seorang lagi mangsa yang masih hilang ialah Putri Nur Fatin Karim, 14.
 
"Saya masih menunggu...masih menanti, harapan itu masih kuat.

"Keadaan apa sekali pun saya terima adik saya, saya reda...yang penting harapan kita dapat jumpa," katanya yang ditemui di Pusat Operasi Kawalan SAR Balai Air Putih, di sini.

(Shahrizal melaungkan azan sebagai ikhtiar
mengesan adiknya dan seorang lagi mangsa)

Terdahulu, kira-kira pukul 3.30 petang tadi, pasukan bomba membawa Shahrizal ke lokasi pencarian.
 
Beliau turut melaungkan azan sebagai ikhtiar mengesan adiknya dan seorang lagi mangsa.
 
Sehingga pukul 4 petang tadi, anggota penyelamat dari pelbagai agensi masih meneruskan operasi mencari Putri Nur Fatin dan Muhammad Fikri dengan kekuatan 280 anggota.
 
Operasi SAR ditangguhkan pada pukul 5 petang dan akan disambung pukul 9 pagi esok.

Media Baharu