KEPALA BATAS, 6 Julai -Kesedaran golongan lelaki terhadap kempen anti gangguan seksual di negara ini disifatkan agak subjektif kerana penerimaan masing-masing terhadap bentuk gangguan itu adalah berbeza secara individu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata perkara tersebut menyebabkan kesukaran bagi membuat penilaian keberkesanan kempen itu terhadap golongan berkenaan ketika ini.
"Mungkin ada lelaki rasa teruja. Tapi daripada sudut statistik, lelaki kurang mengadu.
"Tetapi perkara tersebut berlaku. Lelaki juga manusia. Mereka juga akan rasa terganggu", katanya selepas merasmikan program Jerayawara Kasih KPWKM @ Advokasi Antigangguan Seksual yang turut dihadiri Timbalannya, Aiman Athirah Sabu di Dewan Milenium di sini.
Dalam pada itu, beliau berkata gangguan seksual harus ditangani dengan tegas kerana ia mampu mendorong kepada jenayah yang lebih serius selain membawa kepada trauma.
Justeru, Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840) telah digubal khusus untuk menangani kesalahan tersebut.
(FOTO RTM)