SIKAMAT, 6 Julai- Sebuah Pusat Akademi Tarannum Negeri Sembilan (AKTAR) akan ditubuhkan oleh kerajaan negeri dalam usaha memantapkan bacaan al-Quran kepada semua golongan masyarakat serta melahirkan qari terbaik di negeri itu.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata AKTAR telah bermula pada tahun 2000 di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).
"Akademik taranum telah berjalan cuma sekarang kita menyediakan satu pusat yang khusus bagi mereka yang ingin membaca Al-Quran secara taranum. Kita telah bermula tiga tahun yang lepas di Negeri Sembilan dan kita harap ia dapat dibesarkan bukan saja untuk golongan dewasa tetapi untuk anak-anak kita pada masa depan.
Ia juga dapat melatih golongan ini agar dapat membaca dengan baik dan boleh mewakili negeri pada masa akan datang," kata Aminuddin kepada pemberita pada Majlis Perasmian Penutup Program Fast Track Celik Al-Quran Sekolah-sekolah KPM Peringkat Negeri Sembilam Tahun 2023, di Masjid Datuk Klana Petra Lela Mohd Yusof, Sikamat.
Program tersebut melibatkan 300 murid bermula pada 4 Julai hingga 7 Julai anjuran Pertubuhan Ikatan Kasih Ummah (PIKU) dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).
(FOTO BERNAMA)