(Ahmad Zahid (tengah) pada Majlis Pelancaran Pelan Pemformalan
Usahawan Informal di ibu negara hari ini. Hadir sama Menteri Pembangunan
Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick (dua dari kiri)
KUALA LUMPUR, 6 Julai- Malaysia perlu berada di barisan paling hadapan dalam mempromosi usahawan tempatan agar mampu menembusi pasaran industri halal global.
Untuk itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa usahawan tempatan keluar daripada kepompong pasaran domestik.
Ia dengan menyasarkan pasaran lebih besar di luar negara.
"Pasaran industri halal berada sekitar AS$3 trilion, pada tahun 2030 ia akan melonjak kepada AS$5 trilion.
"Ini merupakan satu peluang besar yang harus kita ambil, harus didakap oleh para usahawan...sekecil mana sekali pun harus keluar daripada kepompong pengeluaran produk kita hanya untuk pasaran tempatan.
"Kita mesti menerobos ke arah serantau atau 'global market'," katanya.
(Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi)
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Pemformalan Usahawan Informal, di sini hari ini.
KUSKOP bangun Pelan Pemformalan Usahawan Informal
Pelan yang dibangunkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), bertujuan memudahcara peralihan usahawan informal kepada perniagaan berdaftar.
Hadir sama pada majlis itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.
Menerusi 6 strategi yang disokong oleh 20 inisiatif, pelan tersebut sebagai langkah intervensi menangani isu dan cabaran usahawan informal dalam memformalkan perniagaan melalui pendekatan proaktif.