fb fb fb fb fb

Tragedi helikopter: Waris mangsa akan terima sumbangan RM3,000 - Nancy

Nancy Shukri

PUTRAJAYA, 25 April- Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Yayasan Kebajikan Negara menyalurkan sumbangan sebanyak RM3,000 kepada waris keluarga mangsa nahas helikopter terhempas.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata bantuan Skim Pemberian Ehsan Kepada Keluarga Mangsa (PEKA YKN) akan disalurkan dalam masa terdekat.

"Kita juga insya-Allah akan memberi setiap keluarga di bawah Yayasan Kebajikan Negara untuk memberi RM3,000 satu keluarga.

"Saya dan timbalan saya akan pergi agihkan.

"Saya akan ke Sarawak dan yang lain itu dekat sini dan Sabah timbalan yang akan pergi, sebab kebetulan timbalan akan pergi ke Sabah, jadi kita minta dia hantar ke Sabah dan dekat Lumut nanti timbalan yang akan menghantarnya," katanya selepas menghadiri majlis bacaan Yasin dan tahlil mangsa tragedi nahas helikopter di sini.

Selain bantuan kewangan, KPWKM juga akan menyantuni keluarga mangsa melalui bimbingan kaunseling oleh kaunselor Pusat Sokongan Sosial Setempat serta Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Majlis anjuran KPWKM itu diadakan khusus buat mangsa insiden nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terhempas di Pangkalan TLDM, Lumut, Selasa lalu.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM