fb fb fb fb fb

‘Mendoakan Tun Abdullah diberikan afiyah’ - PM

FOTO FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 25 April- Datuk Seri Anwar Ibrahim mendoakan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana mengalami ‘small spontaneous pneumothorax‘ semalam diberikan kesembuhan segera.

Perdana Menteri berkata, beliau turut berharap negarawan itu diberikan kekuatan dan dipermudahkan segala urusan.

"Mendoakan Tun Abdullah Ahmad Badawi diberikan afiyah sesegera mungkin, dikurniakan kekuatan dan dipermudahkan segala urusan, Insya-Allah," jelas Anwar menerusi Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memaklumkan Tun Abdullah, 85, atau lebih mesra disapa sebagai "Pak Lah" berada dalam keadaan stabil dan masih dirawat di Unit Rawatan Koronari (CCU), IJN sejak semalam.

Menurut Khairy, bapa mentuanya itu memerlukan rehat secukupnya dan pihak IJN menasihatkan agar beliau tidak menerima pelawat buat masa ini.

"Saya mewakili seluruh ahli keluarga amat menghargai doa serta kata-kata semangat yang dititipkan buat beliau, tetapi pihak IJN menasihatkan agar beliau tidak menerima pelawat buat masa ini," katanya menerusi Instagram Story (IGs) beliau.

SITI AISHAH MD ISA