fb fb fb fb fb

Nahas helikopter: Juruterbang, Leftenan T. Sivasutan selamat disemadikan

Jasad juruterbang, Leftenan T. Sivasutan, 31, disemadikan Pusat Krematorium Manjung Hindu, Sitiawan, Perak, hari ini

SITIAWAN, 25 April- Juruterbang, Leftenan T. Sivasutan, 31, yang maut dalam insiden pesawat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terhempas di Lumut, Perak, Selasa lalu, selamat disemadikan di Pusat Krematorium Manjung Hindu di sini pada pukul 12.15 tengah hari tadi.

Suasana suram dan sedih menyelubungi upacara persemadian mendiang yang dihadiri kira-kira 300 orang terdiri daripada ahli keluarga, sahabat handai, pegawai dan anggota tentera.

Van membawa jasad Sivasutan tiba di pusat terbabit kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.

Jasad mendiang sebelum itu menjalani upacara keagamaan sebelum upacara pembakaran dilakukan. 

Terdahulu, mendiang dibawa ke pulang ke rumah di Taman Serdang Jaya di sini untuk penghormatan terakhir oleh ahli keluarga serta sanak saudara dengan iringan Istiadat Kawalan Jenazah TLDM.

Sivasutan adalah antara tiga kru pesawat Fennec yang terbabit nahas dengan sebuah lagi aset TLDM iaitu pesawat Operasi Maritim (HOM-AW139) yang dinaiki tujuh anggota.

SITI AISHAH MD ISA