fb fb fb fb fb

Anwar nafi kerajaan keluar lesen tubuh kasino di Forest City

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 25 April- Kerajaan tidak mengeluarkan sebarang lesen untuk menubuhkan kasino di Forest City, Johor Bahru.

Tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, laporan portal berita antarabangsa yang mendedahkan bahawa Malaysia sedang berunding dengan beberapa taikun untuk projek bernilai RM480 bilion (AS$100 bilion) adalah tidak benar.

"Tak ada. Mereka bangkitkan 'casino license' itu tipu..tak betul... 'casino license' ..'no'," kata Anwar kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Madani Muhibah Aidilfitri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama-sama Kementerian Komunikasi di sini.

Terdahulu, laporan Bloomberg yang memetik sumber menyebut Perdana Menteri berjumpa dengan pengasas Berjaya Corp, Vincent Tan dan Lim Kok Thay dari Kumpulan Genting dalam satu mesyuarat makan tengah hari minggu lalu untuk membincangkan perkara berkenaan.

Menurut laporan itu, perbincangan mengenai projek kasino berkenaan masih di peringkat awal.

Forest City di Iskandar Puteri, Johor pada mulanya dirancang sebagai projek pembangunan kediaman bersepadu.

Pembinaan dimulakan pada 2006, melibatkan konsortium pemaju hartanah China.

Sementara itu, Anwar menghadiri sesi dialog awam bersama-sama Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Dalam majlis tersebut, kerajaan bersetuju menyalurkan peruntukan khas tambahan sebanyak RM2 juta kepada PPTD untuk memastikan program dan aktiviti yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM