fb fb fb fb fb

Tragedi helikopter: Jenazah Noor Rahiza selamat dikebumi

Upacara pengebumian Allahyarhamah kemudiannya disempurnakan dengan penuh istiadat ketenteraan.

YAN, 24 April- Suasana pilu mengiringi pengebumian Bintara Muda TNL Noor Rahiza Anuar, 39 tahun di Tanah Perkuburan Islam Masjid Haji Nyak Gam, Kampung Ruat, Kedah.

Jenazah Allahyarhamah yang tiba di masjid itu pada pukul 9.07 malam tadi selamat dikebumi pada pukul 9.55 malam.

Upacara pengebumian Allahyarhamah kemudiannya disempurnakan dengan penuh istiadat ketenteraan.

Turut mengiringi jenazah, suami Allahyarhamah, Mohd Azrinor Azizan dan empat anak mereka Nur Qistina Ayuni dan Nur Qistina Awliya, masing-masing berusia 16 tahun, Muhammad Qisti Afif (15 tahun) serta Nur Qisina Afina (5 tahun).

Turut memberi penghormatan terakhir bapa Allahyarhamah, Anuar Hassan, 70-an.

Hampir 500 orang terdiri daripada ahli keluarga, kenalan serta penduduk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah.

Allahyarhamah adalah seorang daripada 10 mangsa yang terkorban semalam dalam nahas helikopter yang terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM