fb fb fb fb fb

Tragedi Elmina: Laporan akhir dijangka selesai Ogos 2024

(Foto BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 15 September- Laporan akhir kemalangan udara melibatkan pesawat N28JV berhampiran Elmina, Shah Alam dijangka diselesaikan selewat-lewatnya pada Ogos tahun depan.

Menerusi kenyataan Kementerian Pengangkutan (MOT), ia selaras dengan ICAO Annex 13 yang memperuntukkan tempoh 12 bulan daripada tarikh kemalangan tersebut untuk melengkapkan dokumen berkenaan.

"Hari ini, MOT menerima Laporan Awal Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) mengenai kemalangan udara pesawat N28JV berhampiran Elmina, Shah Alam.

"Laporan itu memenuhi standard Annex 13, Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO Annex 13).

"Ia mematuhi syarat yang memerlukan penyediaan laporan awal dalam tempoh 30 hari daripada insiden berkenaan.

"Laporan berkenaan mengandungi pernyataan fakta dan penemuan awal yang telah ditentukan sehingga waktu laporan tersebut diterbitkan.

"Laporan juga harus dianggap sebagai tentatif dan boleh diubah atau diperbetulkan jika terdapat maklumat dan bukti tambahan," katanya.

MOT yang merakamkan penghargaan kepada usaha teliti BSKU, bertekad memperkasakan keselamatan penerbangan berdasarkan penemuan biro pada masa akan datang.

17 Ogos lalu pesawat Beechcraft Model 390 Premier 1 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan terhempas dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Subang.

Tragedi berkenaan meragut 10 nyawa termasuk lapan penumpang dan krew dalam pesawat dan dua pengguna jalan raya.


(Foto BERNAMA)

Artikel Berkaitan:
Tragedi Elmina: Tiada lagi kawalan polis di lokasi nahas
Tragedi Elmina: MOT minta orang awam bantu siasatan
Tragedi Elmina: Hanya satu mayat sempurna


Media Baharu