KUALA LUMPUR, 27 Februari - Pemberian autonomi penuh kepada sekolah dan guru dalam pelaksanaan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) mulai sesi akademik 2024/2025 tidak dibuat secara drastik.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata, sebaliknya ia telah melepasi sesi libat urus, konvensyen, sesi meja bulat yang melibatkan pengetua, guru besar dan pakar pendidikan.
"Selain itu, ujian akhir sesi akademik bukan bertujuan membuat perbandingan prestasi antara murid, sekolah, daerah atau negeri, tetapi lebih kepada membantu murid membangun serta memperkembangkan potensi diri mereka sebagai persediaan untuk fasa pembelajaran yang seterusnya.
"Guru juga dapat merancang dan melaksanakan intervensi yang bersesuaian untuk membantu murid mencapai tahap penguasaan yang lebih baik dalam pembelajaran mereka," kata Wong Kah Woh.
Beliau menjawab soalan tambahan yang dikemukakan wakil Putrajaya Dr. Radzi Jidin, di Dewan Rakyat.
Ujarnya, sesi libat urus bermula April 2023 hingga Jun 2024 telah memutuskan UASA diteruskan. Pada masa sama peratus dan gred akan digunakan menggantikan tahap penguasaan yang diaplikasikan sebelum ini.