KUALA LUMPUR, 27 Februari – Sebanyak 579 penghibur jalanan telah diberikan permit oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak 10 tahun lepas.
Daripada jumlah itu, 374 permit dikeluarkan kepada kategori seni persembahan muzik, manakala selebihnya melibatkan seni visual kreatif seperti badut, maskot, silap mata, dan pelukis inai.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, langkah ini bertujuan mewujudkan komuniti penghibur jalanan yang lebih teratur dan berkualiti, sekali gus menjadi daya tarikan pelancong.
Menurutnya, DBKL telah menubuhkan pasukan khas yang bertanggungjawab melakukan pemantauan berkala bagi memastikan pemegang permit mematuhi syarat yang ditetapkan, termasuk lokasi dan waktu persembahan, had bunyi, serta beberapa aspek lain.
"Selain itu, tindakan amaran dan penguatkuasaan akan diambil terhadap mereka yang melanggar peraturan, seperti mengganggu lalu lintas atau operasi premis perniagaan berdekatan.
"DBKL juga bekerjasama dengan agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani isu kesesakan lalu lintas akibat aktiviti busking di kawasan sibuk seperti Bukit Bintang," katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Batu, M. Prabakaran, di Dewan Rakyat hari ini.
Tambahnya, setiap penghibur jalanan diwajibkan menyertai Bengkel Pemantapan Artis Jalanan sebagai syarat utama untuk memperbaharui permit.
Langkah ini bertujuan memastikan penghibur jalanan terus mematuhi garis panduan yang ditetapkan serta meningkatkan kualiti persembahan mereka.
Sementara itu, Zaliha turut memaklumkan kira-kira 3,781 pelbagai jenis pokok telah ditanam di kawasan Taman Rekreasi Tasik Titiwangsa.
Jelasnya, ia terdiri daripada spesies Penaga Lilin, Kayu Arang, Gelam, Kemboja, Ashoka, , Mempari, Kelat Paya, Merawan, dan Siput Jantan.
Dr Zaliha Mustafa turut berkata selain berfungsi sebagai elemen landskap terancang, ia turut memanfaatkan sistem ekologi di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur.
"Pokok-pokok besar membantu mengurangkan kesan pulau haba bandar (urban heat island effect), sekali gus menjadikan kawasan taman lebih sejuk dan nyaman.
"Pokok-pokok di Taman Tasik Titiwangsa juga ditanam dalam kluster tertentu bagi membentuk lorong angin semula jadi, yang dapat membantu pengudaraan serta mengurangkan suhu persekitaran", katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M. Saravanan
DBKL juga akan meneliti keperluan menambah kuantiti pokok di laluan penjalan kaki dan persisiran tasik berkenaan.