fb fb fb fb fb

Tragedi Double Six: Sabah Air beroperasi secara tidak sah

(FOTO RTM)

KUALA LUMPUR, 27 April-Laporan Tribunal Bencana Australia mendapati syarikat penerbangan, Sabah Air yang mengendalikan pesawat yang terhempas dalam tragedi Double Six di Sabah beroperasi secara tidak sah.

Kerajaan Australia mendedahkan laporan hasil siasatan oleh pasukan yang terdiri daripada pengeluar pesawat, Government Aircraft Factories (GAF) dan Jabatan Pengangkutan (DOT) Australia.

Menurut laporan itu, Sabah Air telah mengemukakan draf manual pada penghujung 1975, namun tidak mendapat kelulusan daripada Jabatan Penerbangan Awam (CAD) ketika itu.

Pasukan siasatan Australia juga mendapati CAD gagal memenuhi sepenuhnya obligasi mereka sebagai pihak yang bertanggungjawab memberikan kelulusan.

Terdahulu, Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Dr Justin Lee, melalui media sosialnya semalam berkata, rekod laporan oleh pihaknya itu dinyahklasifikasi dan boleh dilayari di laman web Arkib Negara Australia.

Selari dengan dapatan laporan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia, siasatan yang dijalankan Kerajaan Australia juga menunjukkan tiada unsur sabotaj, kebakaran atau letupan dalam tragedi itu, serta tiada bukti pesawat tersebut mengalami sebarang kerosakan.

Tragedi yang dikenali Double Six itu mengorbankan Ketua Menteri Sabah pertama, Tun Mohammad Fuad Stephens, apabila pesawat GAF Nomad dinaiki beliau bersama rombongan beberapa anggota Kabinet negeri terhempas di perairan Sembulan.


(Laporan siasatan 'Double Six oleh kerajaan Australia)

Media Baharu