BANGI, 24 Disember - Aliran trafik di kebanyakan lebuh raya utama negara dilaporkan bergerak perlahan, setakat pukul 5.00 petang, menjelang sambutan Hari Krismas dan cuti persekolahan ini.
Pemantauan di Pusat Pengurusan Trafik Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) di Bangi mendapati kesesakan mula berlaku sejak tengah hari, dipercayai akibat peningkatan jumlah kenderaan serta beberapa insiden kemalangan dan kenderaan rosak di laluan utama.
Menurut Penolong Pengarah Kanan Pemantauan Operasi LLM, Ahmad Kamil Abdul Halim, walaupun trafik perlahan di beberapa lokasi, keadaan keseluruhan masih terkawal.
“Sehingga pukul 5.00 petang, sebanyak 1.4 juta kenderaan direkodkan menggunakan lebuh raya utama, meningkat berbanding 1.3 juta kenderaan semalam. Jumlah ini dijangka terus meningkat sehingga mencecah 2.5 juta kenderaan menjelang tengah malam,” katanya di sini.
Beliau berkata, LLM turut mengaktifkan 30 lokasi laluan Smart Lane bagi melancarkan pergerakan trafik sepanjang musim perayaan ini.
Dalam pada itu, pengguna lebuh raya diingatkan bahawa diskaun tol 50 peratus bagi kenderaan kelas 1 sempena sambutan Hari Krismas akan berakhir pada pukul 11.59 malam ini.
Orang ramai disaran merancang perjalanan lebih awal dan sentiasa mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian Bebas Tol LLM 1800-88-7752, laman web rasmi serta media sosial LLM di platform X, TikTok, Facebook dan WhatsApp Channel.
Selain itu, pengguna juga boleh memuat turun aplikasi LLM Navigasi Lebuh Raya bagi melihat keadaan trafik semasa dan paparan CCTV secara langsung.
LLM menasihatkan semua pemandu agar sentiasa berhati-hati di jalan raya, menjaga jarak selamat dan mematuhi peraturan lalu lintas bagi memastikan perjalanan lebih lancar dan selamat.