KUALA LUMPUR, 24 Disember - Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) terus mempertingkat proses bayaran balik lebihan cukai susulan peruntukan tambahan yang diumumkan Perdana Menteri, dengan 13,111 kes melibatkan amaun RM1 bilion berjaya diselesaikan bagi tempoh 19 hingga 22 Disember lalu.
HASiL memaklumkan, sehingga 22 Disember 2025, sebanyak RM18 bilion bayaran balik cukai telah diproses melibatkan 3,542,859 kes di seluruh negara.
“Daripada jumlah tersebut, RM15 bilion melibatkan 3,521,929 kes telah diproses bagi tempoh 1 Januari hingga 8 Disember 2025, manakala baki RM3 bilion adalah hasil peruntukan tambahan yang dilaksanakan secara berperingkat bermula 9 Disember lalu,” menurut kenyataan HASiL hari ini.
Daripada peruntukan tambahan keseluruhan berjumlah RM4 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, sebanyak RM3 bilion telah berjaya diproses dan dikreditkan dalam tempoh 9 hingga 22 Disember 2025, melibatkan 20,930 kes.
“Baki RM1 bilion daripada peruntukan tambahan ini akan diproses dan diselesaikan sepenuhnya sebelum akhir Disember 2025,” menurut kenyataan itu lagi.
HASiL turut menjelaskan, dana tambahan RM1 bilion pertama telah digunakan bagi menyelesaikan tunggakan bayaran balik yang berusia melebihi tiga tahun tanpa mengambil kira jumlah yang terlibat.
“Sementara itu, dana RM2 bilion berikutnya telah disalurkan untuk bayaran balik yang berusia antara dua hingga tiga tahun, dengan keutamaan diberikan kepada syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS),” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, HASiL menasihatkan pembayar cukai supaya mengemas kini dan memastikan maklumat akaun bank yang dilaporkan adalah tepat dan terkini bagi membolehkan proses bayaran balik dilaksanakan dengan lebih lancar.
“Terdapat sebahagian bayaran balik yang tidak dapat diproses akibat kesilapan atau ketiadaan maklumat akaun bank yang betul. Selain itu, bayaran balik juga tidak dapat dilaksanakan sekiranya melibatkan pertikaian kes mahkamah, pembayar cukai mempunyai tunggakan bagi tahun taksiran lain, atau syarikat yang telah digulung atau dibubarkan,” jelas HASiL.
HASiL menegaskan komitmen untuk terus memastikan bayaran balik lebihan cukai diselesaikan secara teratur dan berperingkat, dengan keutamaan diberikan kepada amaun tertunggak serta kes melibatkan PKS.
Sebarang pertanyaan atau maklum balas boleh disalurkan menerusi HASiL Contact Centre (HCC) di talian 03-8911 1000 atau 603-8911 1000 (luar negara), perkhidmatan HASiL Live Chat, atau Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL.