fb fb fb fb fb

Trafik perlahan di lebuh raya utama

KUALA LUMPUR, 24 Januari- Keadaan trafik di Lebuhraya Utara, Selatan, dan Karak dilaporkan bergerak perlahan, begitu juga di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) dan LPT2.

Namun pergerakan trafik masih terkawal meskipun hujan melanda dibeberapa kawasan.

Ketua Pusat Pengurusan Trafik Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Syed Mohd. Faizal Said Ahmad berkata, pihaknya menjangkakan pertambahan kenderaan hingga awal pagi esok.

"Sejak pukul 10.00 pagi tadi kenderaan mula memasuki lebuh raya utama menuju ke Lembah Klang, namun kami menjangkakan peningkatan jumlah kenderaan di sebelah petang dan akan menjejaskan pergerakan pengguna lebuh raya," jelasnya ketika ditemui pemberita di sini.

LLM turut memaklumkan lebih 50 peratus jumlah kenderaan telah memasuki Lembah Klang, berbanding 1.8 juta kenderaan yang direkodkan semalam.

Berdasarkan data diperoleh daripada syarikat konsesi lebuh raya, setakat ini 50 peratus kenderaan telah memasuki Lembah Klang.

Beliau menjangkakan akan berlaku peningkatan kenderaan menjelang malam ini.

Setakat pukul 12.00 tengah hari tadi, PLUS merekodkan 1,181,805 kenderaan menggunakan lebuh raya.

Manakala 115,158 kenderaan melalui LPT1 dan Kuala Lumpur - Karak sebanyak 160,088 jumlah kenderaan.


(Foto BERNAMA)

Media Baharu