fb fb fb fb fb

Rakyat Perlis digalak derma darah

(Orang ramai mengambil peluang menderma darah pada Program
Pemeriksaan Kesihatan dan Derma Darah di Kangar)

KANGAR, 24 Januari- Sebanyak 9,800 pek darah berjaya dikumpul Unit Transfusi Darah, Hospital Tuanku Fauziah sepanjang tahun lalu.

Jumlah berkenaan bagi menampung keperluan sebanyak 700 hingga 800 pek darah setiap bulan bagi menghadapi kes-kes kecemasan di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.

Menurut Pegawai Perubatan, Unit Transfusi Jabatan Patologi HTF, Dr Mathaneswaran Rajaswaran, bagi Januari tahun ini sehingga semalam, sebanyak 631 pek darah didermakan hasil pelbagai program derma darah bersama komuniti.

Justeru itu, dalam menghadapi peningkatan kes kecemasan khususnya kemalangan ketika ini, orang ramai diharap terus menderma darah sekurang-kurang tiga bulan sekali di Unit Transfusi Darah HTF.

"Menderma darah ni bagus, ia membantu orang dan sekali pendermaan itu boleh membantu tiga orang pesakit.

"Bekalan darah memang diperlukan, jadi nasihat yang saya boleh bagi sekurang-kurangnya kalau nak cuba menderma boleh cuba dan digalakkan terus menderma,"katanya.

Beliau ditemui media pada Program Pemeriksaan Kesihatan dan Derma Darah, dianjurkan Chenang Clinic Kangar dengan kerjasama Unit Transfusi Darah HTF dan Giant Kangar.

Program yang berlangsung ini mensasarkan sebanyak 30 pek darah didermakan oleh pengunjung yang hadir sebagai stok tambahan keperluan darah di Hospital Tuanku Fauziah.


(Orang ramai mengambil peluang menderma darah pada Program

Pemeriksaan Kesihatan dan Derma Darah di Kangar)

Media Baharu