fb fb fb fb fb

Trafik meningkat sepanjang cuti perayaan, pengguna dinasihat rujuk TTA rancang perjalanan

KUALA LUMPUR, 28 Januari - PLUS menjangkakan peningkatan jumlah trafik daripada 1.4 juta kepada 1.6 juta kenderaan sepanjang perayaan Tahun Baharu Cina bermula esok hingga 6 Februari ini.

Sehubungan itu, PLUS mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi menguruskan peningkatan trafik yang mendadak sekali gus sebagai rujukan orang ramai merancang perjalanan.

Ketua Pegawai Operasinya Datuk Zakaria Ahmad Zabidi dalam kenyataan memaklumkan, PLUS menggalakkan orang ramai merancang perjalanan berpandukan kepada TTA bagi mengelak kemungkinan kesesakan.

Orang ramai yang akan bergerak meninggalkan Lembah Klang untuk ke destinasi-destinasi di utara serta Johor di selatan disaran supaya mula memasuki lebuh raya sebelum pukul 10.00 pagi.

Perjalanan ke destinasi yang lebih hampir dengan Lembah Klang, orang ramai dinasihatkan supaya mula memasuki lebuh raya selepas pukul 1.00 petang.

Beliau pada masa sama turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan ketika berhenti rehat di kawasan R&R serta hentian sebelah di sepanjang lebuh raya.

Pasukan PLUSRonda sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan kepada pemandu di lebuh raya.

Bagi mendapatkan bantuan Pasukan PLUSRonda, pengguna boleh menghubungi talian PLUSLine 1800-88-0000 yang beroperasi 24 jam setiap hari.

Media Baharu