fb fb fb fb fb

48 lokasi kerap kemalangan dikenal pasti


IPOH, 28 Januari - Polis Perak mengenal pasti 48 lokasi hitam yang sering berlaku kemalangan maut setiap kali musim perayaan.

Ketua Polis negeri, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata Gerik mempunyai paling banyak kawasan hitam iaitu 15 lokasi, diikuti Manjung lima serta Ipoh, Hilir Perak dan Sungai Siput masing-masing empat lokasi.

Menurutnya, seramai 205 pegawai dan anggota akan ditugaskan sepanjang Op Selamat 17 yang bermula hari ini hingga 6 Februari bersempena perayaan Tahun Baharu Cina.

"Jika dibandingkan dengan tahun lepas masih PKP dimana ada sekatan dibuat ke atas mereka nak berhari raya, nak menyambut perayaan Tahun Baharu Cina dan sebagainya, bagi tahun ini kita jangka memang dia punya pertambahan trafik akan lebih tinggi, sebab tahun ini dapat peluang dan kebiasaannya perayaan sebegini kaum lain pun akan balik bersama," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian dan Amanat Sempena OP Selamat 17 Tahun Baharu Cina 2022 Peringkat Negeri Perak, di sini.

Dalam pada itu, Mior Faridalathrash berkata sepanjang Op Selamat 17 pihaknya memfokuskan pada penguatkuasaan secara berhemah serta tegas terhadap enam kesalahan utama yang sering dilakukan oleh pengguna jalan raya.

"Enam kesalahan sering dilakukan iaitu memandu melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, memotong barisan, tidak mematuhi lampu isyarat dan menggunakan alat telekomunikasi ketika memandu," katanya.

Media Baharu