KUALA LUMPUR, 28 Januari - Kerugian berjumlah RM71 juta direkodkan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur dengan 1,498 kes panggilan kebakaran diterima dan diambil tindakan, sepanjang tahun lalu.
Pengarahnya, Nordin Pauzi berkata daripada keseluruhan kes itu lima nyawa terkorban dan 28 mangsa cedera.
Jelas beliau, kurangnya kesedaran dalam kalangan pemilik bangunan dan penghuni kediaman antara punca terdedahnya kepada risiko kebakaran. Selain tiada sistem keselamatan yang baik.
"Sekiranya premis tertentu ini tiada perakuan, di bawah akta bomba boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali. Jadi kita mengingatkan pemilik premis supaya mematuhi peraturan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Kempen Kesedaran Keselamatan Kebakaran dan Pemeriksaan Bangunan Sempena Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2022 di pusat beli belah Pavilion, di sini.